MELAYARI PERKEMBANGAN

Emakku…


Emakku…

Mak, kelihatan sangat cantik dan ayu apabila dipandang. Namun, disebalik wajahnya yang suci terpalit seribu satu perangai yang membentuk personalitinya menjadi seorang insan yang bergelar emak. Seperti ibu-ibu diluar sana, dia juga ibu yang sangat membantu anak-anaknya 11 orang ini dengan penuh sabar dan kasih sayang. Dia kelihatan ayu di hadapan orang lain, namun tegas pabila dengan anak-anaknya. Mak juga insan yang sukar untuk dijangkakan pemikirannya. Hanya beberapa minit sahaja, pendiriannya boleh berubah. Janganlah ada yang cuba menjadi batu api, akan berubah semula kata-kata murninya. Namun itulah emak yang. kami sayang dan sanjungi.

Mak tak berpelajaran tinggi,namun jerih hidup dan doa tulusnya menghantar anak-anaknya ke puncak ilmu. Mak pun tidak khatam menuntut ilmu, tetapi dengan sabar dan budi, anaknya meraih darjat doktor falsafah. Mak juga tiada petah berhujah, namun asuh dan teladannya menjadikan anaknya berani menyatakan fikir dan lantang berkata-kata. Mak tidak pandai menaip, dan tulisannya barangkali sukar untuk ditanggapi, namun bimbingannya memimpin anaknya melahirkan karya yang terbaik untuk di amati. Semuanya dibuat untuk melihat anak-anaknya meraih impian masing-masing. Tetapi mak tak pernah mahu belajar untuk dirinya.

“ Pengorbanan seorang mak sering tidak tertangkap oleh mata anak-anaknya. Dalam senyap, mak memikul luka yang tidak bernama, menelan letih dan kecewa demi membesarkan anak-anak yang dikandung dan dilahirkannya dari rahim sendiri. Tiada selalu terucap kata maaf dari bibirnya,namun setiap langkah hidup anak-anaknya ditimbang dengan kasih, dijaga dengan doa, dan diambil berat sepenuh jiwa.”